Ilmu Watan : Secebis Pengetahuan

Manusia adalah satu-satunya makhluk Allah SWT yang dianugerahi akal dan pengetahuan, faham dan mengerti serta berupaya untuk mencipta dan memusnahkan segala sesuatu selama mana hidupnya di atas muka bumi ini. Berdasarkan secebis kemajuan dan kecerdasan akal yang dapat dicapai oleh manusia itu, maka disitulah timbulnya apa yang dinamakan ‘ilmu pengetahuan’ iaitu suatu kumpulan pengalaman, penjelajahan dan pendapat dalam kecerdasan akal manusia untuk mendekati alam yang lebih sempurna. Dengan ciri-ciri itu, maka ilmu-ilmu baharu terus menerus diselongkar tidak berhenti dari abad ke abad berjalan terus menuju ke arah keunggulan, kecerdasan, ketinggian, keluhuran dan kesempurnaan disamping melalui pelbagai jerit perih dugaan dan cabaran. Dari zaman lampau hingga ke zaman kini, ilmu pengetahuan sememangnya tidak pernah habis untuk digali. Ilmu yang menjadi tunjang kepada peradaban atau tamadun manusia seringkali berubah dan bergerak maju selangkah demi selangkah, menghampiri masa depan lalu meninggalkan masa lampau.

Hari ini, dibuminya Kuala Lumpur baru sahaja dilakar dan dibahaskan satu lagi keilmuan baharu yang dinamakan sebagai ‘ilmu watan’. Lahir dari satu Seminar Kebahasaan sempena Sidang ke-52 Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) 2013, Mengembangkan Ilmu Watan Melalui Teknologi Maklumat/Informasi dan Komunikasi dijadikan tema utama untuk menyelongkar seberapa dalam niat, maksud dan manfaat terhadap bidang-bidang yang terkait dengannya. Dalam perbicaraan mengenainya, wakil dari setiap negara diberi peluang untuk membentangkan kertas kerja berdasarkan perspektif, kepakaran atau sudut pandang masing-masing dalam menghuraikan isu dan permasalahan disamping berusaha menyebarluaskan ilmu watan tersebut melalui teknologi masa kini.

utklog

Dari kaca mata bahasa barangkali istilah ilmu watan ini seakan-akan baru pertama kali muncul dilapangan bangsa. Ini kerana perkataannya jarang sekali didengar apatalagi digunakan. Melihat penerimaan istilah watan itu sahaja belum ada kesepakatan bersama dimana masih ada wakil negara yang lebih selesa menggunakan  perkataan setempat, lokal atau peribumi (pribumi) berbanding perkataan watan itu sendiri. Langsung ilmu watan itu telah menimbulkan seribu tanda tanya apakah makna sebenar dan bagaimana rupabentuknya sebelum ia boleh dijadikan satu keilmuan yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat kini dan selanjutnya. Dalam mengenalpasti akan adanya kewujudan ilmu watan itu, Prof. Dato’ Dr. Aziz bin Deraman telah mengkategorikan ilmu ini kepada tiga bahagian iaitu sejarah, budaya dan kontemporari. Pembentangannya dalam kertas kerja utama yang bertajuk Pembangunan Repositori Ilmu Watan : Isu dan Cabaran sedaya upaya cuba dinyatakan bahawa ilmu watan itu boleh dijadikan bukti kewujudan suatu bangsa dengan warisan  budaya masing-masing. Namun, dalam pengkategorian sejarah, beliau berpendapat ilmu watan dalam konteks warisan bangsa dan negara dilihat tidak lagi relavan dan tidak sesuai untuk amalan semasa tetapi masih mempunyai nilai-nilai (budaya dan sejarah) untuk tujuan pembinaan sahsiah dan pembangunan minda masyarakat semasa.

Berbeza pandangan, Prof. Datin Dr. Maryati Mohamed melihat ilmu watan itu  sebagai ilmu warisan yang berbentuk kepelbagaian hidup (biodiversiti) yang berkemungkinan punya mistikal dan keunikannya tersendiri. Menurutnya lagi, biodiversiti  bermaksud kepelbagaian atau keanekaragaman yang merangkumi kelakuan, kegemaran, habitat dan interaksi ekologi antara benda hidup. Atas pemahaman ini, ciri-ciri kepelbagaian biologi (ilmu watan)  yang hidup di bumi ini merupakan bentuk kekayaan yang perlu diketengahkan bagi menanam rasa cinta masyarakat terhadap keistimewaan tanah airnya. Begitulah selanjutnya, makna dan bahasa ilmu watan ini terus dicuba untuk dibedah, dikupas dan diolah mengikut aliran pemikiran, pengalaman dan pandangan sarjana masing-masing yang dipilih untuk membentangkannya. Jika muzik yang menjadi alirannya, maka lagu dan iramalah yang menjadi saduran kepada ilmu watan itu. Seandainya pertanian yang menjadi asas pengetahuannya, maka tanah dan tanamanlah yang dijadikan benih untuk menumbuhmekarkan ilmu watan tersebut.

Secara sederhana, ilmu watan ini seakannya perlu lebih lagi digali dan diterokai. Agak sukar untuk dikembangkan sekiranya bahasanya ‘watan’ itu belum benar-benar dijiwakan. Dalam erti kata lain, bahasa yang diguna tanpa memahami maksud dan tujuan akan menimbulkan kekeliruan dan pastinya ilmu yang cuba dimanfaatkan mungkin tidak dapat diletakkan pada tempat yang sepatutnya. Bagi yang ingin mem’baca’ lebih luas dari sebelumnya, ilmu watan itu perlulah direnung dan diterjemahkan dalam konteks ‘laku’ atau ‘amal’ nya. Seperti peribahasa Melayu lama yang berbunyi  ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’, sesuatu ilmu dan budaya itu bukan sekadar perlu dihormati dan dipatuhi tetapi sebaiknya perlu dikenal, difahami dan disemak kembali apakah ia benar-benar boleh diikuti. Menimbulkan persoalan kini, adakah ilmu watan ini mampu dipraktikkan di bumi nyata atau hanya sekadar menjadi pengetahuan yang secebis sahaja?

Sumber foto: Google dan PRIMA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *